Pengenalan BCNP

Dr. Hairin Anisa secara rasmi menubuhkan pusat ambulatori (Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Adda) pada bulan November 2015. BCNP dilancarkan pada Januari 2016 bermula dengan hanya kurang daripada 20 orang aktivis laktasi terlatih, kebanyakannya berasal daripada negeri Johor.

Hari ini, program ini telah berkembang di seluruh negara dengan dianggotai lebih daripada 170 orang aktivis laktasi yang terdiri daripada pakar laktasi IBCLC, pembimbing rakan penyusuan yang terlatih dan memiliki sijil yang sah serta komited untuk membimbing ibu menyusukan bayi seccara eksklusif melalui sesi kaunseling lawatan ke rumah. Lawatan kaunseling penyusuan susu ibu adalah berdasarkan permintaan di laman web rasmi iaitu www.permatasusuan.com. Idea BCNP tercetus setelah Dr. Anisa melakukan sesi lawatan kaunseling ke rumah seorang ibu yang memerlukan pertolongan untuk menyusukan bayinya tetapi pada masa yang sama, mengatasi kemurungan.  Ibu ini berada dalam keadaan kemurungan serius kerana dia mempunyai perasaan ingin membunuh bayinya.  Dia juga menjaga kedua anaknya sendirian dan tiada sistem sokongan. Tekanan yang dihadapinya semakin teruk apabila anak pertamanya sangat aktif dan dia tidak dapat mengawalnya kerana pergerakannya tersekat akibat buasir yang teruk (pendarahan). Dr. Anisa menyedari bahawa ibu ini berusaha mencari ketenangan dalam dirinya dan telah menjadi pendengar yang baik segala luahan hati ibu ini bagi menghilangkan tekanannya. Dr. Anisa juga memberikan ubat untuk merawat buasir dan mengajarnya cara menyusui bayinya dengan menggunakan teknik yang betul dan selesa. Kemudian dia dinasihatkan untuk menjalani penilaian dan rawatan psikiatri setelah dia berasa lebih sihat. 

Pengalaman ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya perkhidmatan lawatan ke rumah untuk ibu menyusu.  Oleh itu, idea BCNP bertujuan untuk membantu ibu-ibu yang benar-benar memerlukan perhatian dan bimbingan segera untuk mewujudkan penyusuan susu ibu yang berjaya supaya dapat mencegah atau mengurangkan risiko seperti Kemurungan Selepas Bersalin, dan senario buruk seperti bunuh diri atau pembunuhan. Program ini menjunjung tinggi promosi, sokongan dan perlindungan terhadap ibu bapa yang menyusu.  BCNP akan memastikan semua maklumat yang dikongsi dan disampaikan kepada pelanggan mesti TEPAT, LENGKAP dan MEYAKINKAN.