KARIES GIGI DALAM DAKAPAN MANISNYA SUSUAN IBU

Penyusuan susu ibu telah diiktiraf sebagai antara cara terbaik untuk memberikan nutrisi kepada bayi yang baru lahir. Namun, tahukah anda bahawa penyusuan susu ibu juga memainkan peranan penting dalam kesihatan gigi bayi dan kanak-kanak di bawah usia tahun? Kajian telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan yang signifikan antara penyusuan susu ibu dan risiko perkembangan karies gigi pada kanak-kanak.

Karies gigi pula merupakan masalah pergigian yang umum di kalangan kanak-kanak dengan impak yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan gigi dan keseluruhan tubuh badan. Karies gigi bukan sahaja menyebabkan kesakitan, tetapi juga boleh mempengaruhi pertumbuhan gigi dan perkembangan tulang rahang. Kesan buruk ini boleh berlarutan sehingga ke dalam kehidupan dewasa.

Penyusuan susu ibu memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada bayi, termasuk meningkatkan sistem imun, perlindungan daripada jangkitan dan perkembangan tubuh badan yang sihat. Selain itu, susu ibu juga membantu dalam pembentukan struktur gigi dan rahang yang kuat.

Walaupun penyusuan susu ibu memberikan pelbagai kebaikan, ada pendapat menyatakan bahawa terdapat hubungan antara penyusuan susu ibu yang berlebihan dan risko karies gigi pada kanak-kanak. Sebenarnya, keadaan ini lebih dikenali sebagai “karies botol susu”, di mana bayi atau kanak-kanak terdedah kepada cecair manis seperti susu formula atau jus buah-buahan dalam botol atau cawan bertutup sepanjang masa.

Kajian dari Tanaka et.al., (2018) & Tham et.al., (2015) menyatakan hubungan penyusuan susu ibu dan karies gigi ini ke atas kanak-kanak pra-sekolah (5 tahun ke bawah). Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama tempoh enam bulan pertama kehidupan bayi mempunyai risiko lebih rendah mengalami karies gigi berbanding kanak-kanak yang diberikan susu formula.

Manakala kajian di Brazil dan Belanda mendapati bahawa penyusuan susu ibu selama tempoh lebih dari enam bulan juga mengalami risiko karies gigi yang rendah (Kramer et.al., 2012 & Azevedo et.al., 2018).

Walau bagaimanapun bagi Tham et.al., (2015) menyatakan penyusuan melebih 12 bulan boleh meningkat risiko karies gigi apabila berlaku penyusuan secara kerap di waktu malam kerana gigi terdedah lama pada susu yang mengandungi laktosa tanpa pembersihan mulut/gigi setelah bayi dan kanak-kanak tersebut tertidur. 

Karies gigi pada bayi dan kanak-kanak berlaku hasil daripada faktor-faktor bukan berpunca dari susu ibu. Kebersihan mulut yang buruk dan pengambilan makanan yang manis adalah faktor utama karies gigi berlaku. Seterusnya, ini akan mempengaruhi kesihatan pergigian bayi dan kanak-kanak jika tidak dicegah dengan baik oleh ibubapa atau penjaga.

Kajian-kajian ini merupakan bukti kukuh bahawa penyusuan susu ibu secara ekslusif selama tempoh yang mencukupi dapat membantu mengurangkan risiko karies gigi pada bayi dan kanak-kanak. Sebagai pencegahan, bagi memastikan anak-anak kecil mendapat manfaat penyusuan susu ibu tanpa meningkatkan risiko karies gigi, berikut adalah strategi yang perlu dilakukan;

  1. Amalkan penyusuan susu ibu yang bijak: amalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan pertama kehidupan bayi, dan seterusnya penyusuan sehingga umur 2 tahun
  2. Kawal penggunaan botol susu dan cawan bertutup: elakkan pemberian botol susu dengan cecair manis seperti susu formula, jus buah-buahan dan minuman manis lain sepanjang masa. Gantikan cawan atau gelas yang sesuai untuk memerhatikan tabiat minum kanak-kanak
  3. Amalkan kebersihan mulut dan gigi:
    1. Sebelum gigi tumbuh: Mulakan rutin membersihkan gusi bayi (tiada gigi) dengan kain lembut yang dilembapkan dengan air setiap hari
    2. Setelah gigi pertama tumbuh: Penggunaan berus gigi yang lembut bagi bayi yang baru tumbuh gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari, terutamanya selepas makan dan sebelum tidur. Sesuai menggunakan calitan (smear layer) ubat gigi berfluorida. Manakala bagi umur 3 tahun ke atas gunalah ubat gigi berfluorida sebesar saiz kacang pis (pea size).
    3. Berus lidah: suatu amalan yang baik jika dapat memberus/membersihkan lidah sekurang-kurangnya dengan kain lembut yang dilembapkan dengan air, bagi mengurangkan risiko jangkitan kulat seperti Candida, dan memastikan mulut sentiasa bersih 
  4. Mulakan lawatan ke klinik gigi seawal gigi pertama tumbuh.

Penyusuan susu ibu adalah asas kepada perkembangan yang sihat bagi bayi dan kanak-kanak. Namun, ibubapa perlu sedar akan risiko karies gigi yang boleh timbul jika penyusuan susu ibu tidak diamalkan dengan bijak. Dengan kesedaran dan amalan yang betul, kita dapat memastikan anak-anak menikmati manfaat penyusuan susu ibu tanpa mengabaikan kesihatan pergigian mereka.

Rujukan:
● Amarican Academy of Pediatrics. (2012). Policy Statement: Breastfeeding and the use of Human Milk. Pediatrics, 129(3), e827-e841
● American Dental Association. (n.d.). Breasfeeding and Dental Decay. http://www.ada.org/resources/research/science-and-research-institute/oral-he
alth-topics/breastfeeding-and-dental-decay
● World Health Organization. (2019). Infant and Young Child Feeding.
http://www.who.int/news-room/fact-sheet/detail/infant-and-young-child-feeding
● Tanaka K, Miyake Y, Sasaki S, Hirota Y. Breastfeeding and dental caries in preschool children. The Japan Environment and Children’s Study. Pediatric Dentistry. 2018. Nov 15;40(7): 460-466
● Kramer MS, van der Pal-de Bruin K, Plat AW, Jaddoe VW, Hofman A. Steegers EA, Ghosh D, Bhutta ZA, Humphrey T, Felix JF, Kruithof CJ. The association of breastfeeding duration and early childhood caries: a prospective cohort study. Caries research. 2013;47(3): 531-540
● Azevedo MS, Scheutz F, Álvares DP, Olandoski M, Barros AJ. The association between breastfeeding and dental caries in Brazilian preschool children. Community Dentistry and Oral Epidemiology. 2018 Feb;46(1):53-61
● Tham, R., Bowatte, G., Dharmage, S., Tan, D., Lau, M., Dai, X., Allen, K. and Lodge, C. (2015), Breastfeeding and the risk of dental caries: a systematic review and meta-analysis. 62-84. https://doi.org/10.1111/apa.13118 Acta Paediatr, 104:
● Shrestha, S.K.; Arora, A.; Manohar, N.; Ekanayake, K.; Foster, J. Association of Breastfeeding and Early Childhood Caries: A Systematic Review and Meta-Analysis. Nutrients 2024, 16, 1355. https://doi.org/10.3390/nu1609135