JAUNDIS DI KALANGAN BAYI – FAKTA ATAU AUTA ?

Lebih 70% bayi baru lahir akan mendapat jaundis pada beberapa hari pertama kelahiran, pastinya ibu dan ayah akan cuba mencari jawapan bagi menurunkan jaundis bayi daripada carian di internet ataupun petua dari ahli keluarga anda.

Tahniah akan kehadiran cahaya mata baru anda! Menyambut bayi baru pasti mengujakan,sudah tentu ia juga satu tempoh yang mencabar bagi ibubapa baru. Seperti diketahui lebih 70% bayi baru lahir akan mendapat jaundis pada beberapa hari pertama kelahiran, pastinya ibu dan ayah akan cuba mencari jawapan bagi menurunkan jaundis bayi daripada carian di internet ataupun petua dari ahli keluarga anda. Berikut antara mitos jaundis bagi bayi baru lahir yang paling kerap didengari,

  1. Beri bayi susu kambing untuk merawat jaundis.
  2. Perahan air anggur untuk merawat jaundis.
  3. Mendedahkan bayi di bawah cahaya matahari boleh merendahkan paras jaundis.
  4. Bayi yang minum susu ibu perlu diberikan air masak supaya cukup air.

Bagaimana jaundis berlaku?

    Selepas bayi dilahirkan, tubuh mereka perlu memecahkan sel darah merah yang terhasil semasa mereka masih didalam rahim. Bahan buangan dari proses ini ialah Bilirubin(pigmen kuning).Bilirubin akan diproses di hati menjadi Bilirubin yang telah diubah kemudian disimpan sebagai garam hempedu di hempedu. Garam Hempedu ini akan diangkut ke usus setiap kali bayi menyusu (dengan kehadiran lemak dalam susu) untuk penyerapan lemak sebelum ia disingkirkan melalui najis.

Walaubagaimanapun, disebabkan oleh pecahan hemoglobin janin yang berlebihan (hemolisis) tetapi hati yang belum matang untuk memetabolismekan bilirubin, sebahagian daripada bilirubin kekal tidak berubah dan tinggi dalam peredaran darah. Bilirubin yang tidak diubah ini akan mendap pada kulit menyebabkan perubahan warna kuning pada bayi dan boleh masuk ke otak jika parasnya sangat tinggi.

Punca lain Jaundis

Dalam kes yang jarang berlaku, faktor lain yang boleh menyebabkan jaundis dan ia sering muncul lebih awal atau lebih lewat daripada bentuk jaundis bayi yang lebih biasa. Penyakit atau faktor lain yang boleh menyebabkan jaundis termasuk:

1) Ketidakserasian ABO & resus antara ibu dan bayi

2)’Alloimmune Hemolytic Anemia’ bayi

3) Kekurangan G6PD

4) Jangkitan saluran kencing

5) Neonatal Hepatitis

6) Cephalohaematoma

7) Saluran hempedu tersumbat

8) Polycythemia (pada bayi dengan ibu yang mendapat kencing manis semasa hamil)

9) Hipotiroid pada bayi

10) Jangkitan dalam rahim (Toxoplasmosis, CMV, Herpes & dll.)

11) Sindrom Gilbert/Criglar Najar

12) Kekurangan Alpha Fetoprotein

BILAKAH ANDA PERLU RISAU AKAN JAUNDIS?

Anda harus menghubungi pakar pediatrik anda jika:

1. Jaundis bayi kelihatan kurang daripada 24 jam bayi dilahirkan.

2. Jaundis berpanjangan melebihi 14 hari untuk bayi cukup bulan atau 21 hari untuk bayi pramatang.

3. Jumlah bilirubin terkonjugasi adalah lebih daripada 20 peratus daripada jumlah bilirubin.

4. Jumlah bilirubin adalah lebih daripada 15mg/dL.

5. Peningkatan pesat paras bilirubin dalam darah (>5mg/dL sehari).

6. Bayi membuang najis berwarna tanah liat/berwarna pucat.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA JAUNDIS PADA BAYI YANG MENYUSU SUSU IBU

Bayi yang disusui dengan susu ibu berisiko mengalami jaundis kerana kegagalan untuk mendapatkan teknik penyusuan yang betul. Walaupun penyusuan susu ibu adalah cara fisiologi semula jadi untuk memberi makan bayi, proses pembelajaran terutamanya semasa beberapa minggu pertama kehidupan bayi mungkin tidak mudah. Ibu yang tidak menghadiri kelas antenatal mungkin tidak mempunyai pengetahuan penyusuan yang mencukupi dan tidak diberi sokongan yang sewajarnya untuk menyusu. Untuk bayi dapat mengeluarkan susu dengan berkesan dari payudara, bayi mesti diletakkan dengan betul dan mempunyai pelekapan yang baik pada payudara. Apabila bayi tidak mendapat susu yang mencukupi daripada payudara, ini akan meningkatkan jaundis.

Kedua, kehadiran enzim beta glucuronidase lebih tinggi dalam susu ibu. Bilirubin terkonjugasi pecahan beta glucuronidase menyebabkan lebih banyak penyerapan semula bilirubin dikembalikan ke hati dan bukannya penyingkiran.Oleh itu,lebih banyak bilirubin dalam aliran darah menyebabkan masalah kuning susu ibu-breastmilk jaundice.

RAWATAN JAUNDIS NEONATAL

Langkah pertama rawatan jaundis pada bayi baru lahir adalah memastikan bayi disusukan dengan betul dan mengikut permintaan. Apabila bayi mendapat susu yang mencukupi daripada payudara dengan teknik penyusuan yang betul (posisi dan lekapan yang betul), susu ibu akan bertindak sebagai julap yang meningkatkan pergerakan usus dan mengurangkan penyerapan semula bilirubin dalam usus. Oleh itu, susu ibu membantu menyingkirkan bilirubin yang tidak diperlukan. Jika bayi terlalu mengantuk akibat jaundis, ibu boleh menggunakan pemampatan payudara(breast compression) semasa menyusu untuk menggalakkan bayi menyusu dengan lebih aktif.

Apabila tahap bilirubin pada bayi melebihi paras, fototerapi digunakan di hospital untuk memecahkan bilirubin tidak terkonjugasi yang disimpan di dalam kulit supaya badan dapat mengeluarkannya dengan mudah. Bayi akan diletakkan di bawah lampu khas di dalam katil bayi dengan mata ditutup selama satu atau dua hari. Sebaik sahaja, paras bilirubin turun ke paras selamat, bayi boleh pulang ke rumah.

RAWATAN LAIN YANG TIDAK DISARANKAN

A) Susu kambing segar

 Susu kambing segar tidak digalakkan untuk kanak-kanak di bawah umur 12 bulan kerana ia tidak memenuhi keperluan nutrisi bayi. Ia kekurangan asid folik, zat besi, vitamin c, laktosa tetapi mengandungi kepekatan protein yang tinggi. Nisbah protein berbanding lemak yang lebih tinggi juga boleh menyebabkan asidosis metabolik pada bayi. Susu kambing segar boleh membebankan buah pinggang bayi yang belum matang kerana ia mengandungi jumlah natrium dan klorida yang lebih tinggi.

B) Air dan madu

Bayi perlu diberi susu ibu secara eksklusif sehingga umur 6 bulan. Tiada cecair lain termasuk air perlu diberi sebelum bayi 6 bulan kerana ia akan mengganggu proses penyusuan susu ibu. Ibu perlu kerap menyusukan bayi untuk penghasilan susu berterusan. Memandangkan perut bayi kecil, pemberian air walaupun sedikit akan membuat bayi berasa cepat penuh, sekali gus mengurangkan keperluan bayi untuk menyusu. Selain itu, pemberian air kepada bayi boleh melambatkan kenaikan berat badan bayi kerana air tidak mengandungi kalori dan khasiat pemakanan. Apabila air diberikan dalam jumlah yang lebih besar, bayi boleh mengalami keracun air akibat pencairan paras garam(natrium) dalam darah mereka yang membawa kepada sawan dan kematian.

Memberi madu sebagai “tahnik” adalah “Sunnah”. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh diberikan dengan kerap sebagai rawatan untuk penyakit kuning. Bayi yang terdedah kepada rasa manis pada awal hidupnya boleh menyebabkan mereka memilih makan di kemudian hari. Madu mentah yang tidak diproses dikhuatiri tercemar dengan bakteria ‘Clostridium botulinum’ boleh menimbulkan risiko ketoksikan botulisme pada bayi

C) Pendedahan cahaya matahari

Terapi cahaya matahari tidak lagi disyorkan sebagai rawatan untuk jaundis disebabkan ia kurang dipercayai kerana ia terdiri daripada julat jarak gelombang yang luas daripada 10-400nm (UV), 400-700 nm (cahaya nampak) dan melebihi 700nm (inframerah). Untuk bilirubin dipecahkan, mereka biasanya menyerap jarak gelombang cahaya sekitar 450-460nm. Pendedahan langsung kepada cahaya matahari boleh menyebabkan selaran matahari dan dehidrasi pada bayi jika tidak dipantau dengan betul. Bagaimanapun, pendedahan cahaya matahari sekitar jam 7 hingga 11 pagi adalah baik untuk penghasilan vitamin D di bawah kulit.

D) LAIN-LAIN

Mandian herba dan sapuan harus dielakkan pada bayi kerana tiada kajian keselamatan. Ibu-ibu masih boleh mengambil jamu, halia dan kunyit dalam jumlah yang sedikit tanpa risiko tambahan jaundis pada bayi yang disusui. Walau bagaimanapun, ibu harus mengelakkan herba yang tidak diketahui kerana metabolisme herba tidak diketahui dan sama ada ia dirembeskan ke dalam susu ibu. Herba yang disalurkan melalui susu ibu mungkin bersaing dengan metabolisme bilirubin dalam hati yang seterusnya mengurangkan kapasiti hati untuk merubah bilirubin.

JAUNDIS SUSU IBU

Jaundis susu ibu yang berpanjangan selalunya membuatkan ibu rasa bersalah dan menyalahkan susu ibu. Walau bagaimanapun, kehadiran bilirubin di bawah paras bahaya tidak membahayakan bayi. Oleh itu, tidak digalakkan menghentikan penyusuan selama 24 jam untuk mendiagnosis jaundis susu ibu.

MESEJ UNTUK PEMBACA.

1. Kira-kira 70% bayi yang baru lahir akan mengalami jaundis fisiologi.

2. Risiko mendapat jaundis teruk pada bayi biasanya lebih rendah kerana kebanyakan kes mengalami jaundis ringan.

3. Jaundis fisiologi akan hilang sebelum 14 hari dengan atau tanpa memberi cecair lain selain susu ibu.

4. Pemberian cecair lain seperti air, susu kambing segar, madu akan memberi risiko kepada bayi.

5. Membantu ibu menyusu dengan tepat untuk memastikan bayi mendapat susu ibu akan membantu mengurangkan jaundis pada bayi baru lahir.

Sumber:

Dr.Hairin Anisa (Pakar kanak-kanak, IBCLC & Pengasas BCNP)

Oleh:

Carrie Foo Hw

Terjemahan Bahasa Melayu:

Nor Azura Binti Mohd Puad