“BLEB” LEPUHAN DI PUTING PAYUDARA

Bleb atau lepuhan di puting payudara ibu adalan suatu keadaan yang menyakitkan yang biasanya berlaku disebabkan oleh salah cara penyusuan dan saluran susu tersumbat.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Apa itu Nipple Bleb atau sumbatan pada “mata susu”? Ia adalah satu keadaan di mana lapisan epidermis iaitu kulit paling luar di bahagian puting, tertarik sehingga ia membentuk gelembung yang disebabkan oleh geseran dan tekanan. Apa punca berlakunya ‘Nipple Bleb”? Ia akan berlaku apabila salah lekapan sewaktu penyusuan susu ibu, salah cara mengepam susu serta sering berlaku kepada Exclusive Pumping Mom (EP Mom) yang tidak melakukan perahan tangan (hand expression) sehingga duktus susu tersumbat (blocked ducts). Maka kulit puting lapisan paling atas tertarik akibat hisapan yang kuat tetapi pengaliran susu tetap tak lancar keluar daripada lubang tersebut.
Bagaimana untuk merawatnya?

  1. Rawatannya ialah dengan mengurut dengan Teknik urutan yang betul dan elakkan urutan yang agresif atau kuat sehingga urat-urat dan saluran susu dalam payudara menjadi lebih sakit.
  2. Selain itu, ibu boleh menggunakan rendaman garam epsom dalam milk collector. Cara penggunaannya ialah dengan meletakkan milk collector yang menyedut (suction) di bahagian puting tidak melebihi 5 minit. Buat berulang kali berselang seli dengan mengurut payudara menggunakan tangan atau handheld massager. Ini kerana, sekiranya dilakukan berterusan lebih daripada 5 minit, tiada pengudaraan yang cukup pada puting, seterusnya menyebabkan kulit puting akan tertarik dengan lebih lama dan luka akan menjadi lebih parah.
  3. Yang paling penting sekali, JANGAN SESEKALI MEMECAHKAN bintik pada puting (nipple bleb) melainkan dirawat oleh kaunselor laktasi daripada bidang perubatan. Ini kerana sekiranya pecah dan berdarah, ia akan menyebabkan ulser yang teruk dan sekiranya tiada penjagaan yang rapi, jangkitan kuman atau abses payudara (breast abscess) boleh berlaku. Jadi, ianya sangat penting untuk ibu merujuk kepada jururawat dan doktor mesra penyusuan di klinik atau hospital Rakan Bayi sekiranya memerlukan prosedur untuk memecahkan bintik (nipple bleb) ini.
  4. Selain itu, ibu perlu menjaga kebersihan puting dan payudara secara optimum dan perlu memakai baju dalam yang lembut, sesuai dan longgar supaya tidak terjadi sebarang luka geseran.
  5. Ibu boleh makan ubat tahan sakit kerana ianya selamat untuk ibu terus menyusukan bayinya atau mendapatkan ubat Aftamed Gel untuk proses penyembuhan luka yang lebih cepat.
  6. Ibu perlu elakkan daripada pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu seperti daging yang berlemak, mentega, santan dan lain-lain.
  7. Ibu boleh mengambil lecithin bagi melancarkan aliran pada duktus kerana ianya bertindak seperti minyak pelincir.
  8. Sangat penting untuk bayi terus menyusu di bahagian payudara yang tersumbat sambil ibu memerah menggunakan tangan secara serentak dengan sesi penyusuan. Dicadangkan mengunakan posisi “Cross Cradle” atau “Football Hold”.
  9. Elakkan daripada bergantung sepenuhnya kepada penggunaan pam secara berlebihan. Ibu perlu diajar cara perahan menggunakan tangan sehingga ibu yakin untuk melakukannya sendiri. Sekiranya ibu ingin mengepam susunya, pastikan ibu mengakhiri sesi perahan dengan perahan tangan supaya kurangkan risiko untuk saluran susu tersumbat (blocked duct

Sumber : Dr Hairin Anisa (Pakar kanak-kanak & IBCLC)

Penulis : Hasnidza (Kaunselor laktasi terlatih)