Pemakanan bagi ibu menyusu.
Pemakanan ibu semasa menyusu merupakan satu aspek yang penting dalam memastikan perkembangan bayi yang menyusu susu ibu dalam keadaan yang terbaik. Selain dari posisi dan lekapan yang baik, pemakanan ibu juga dapat membantu bayi membesar dengan baik dan sempurna. Apa yang perlu ditekankan semasa ibu menyusu?
- Pengambilan makanan yang seimbang, sederhana dan bervariasi
Pemakanan ibu seharusnya tidak boleh terlalu terhad disebabkan oleh pantang selepas bersalin atau untuk mengelakkan bayi jatuh sakit. Ini kerana makanan yang tidak mengandungi pelbagai kumpulan makanan akan mengakibatkan ketidakseimbangan kandungan nutrien dan mineral yang penting dalam pembentukan tumbesaran bayi untuk jangka masa panjang. Biasakan mengambil makanan yang lengkap, mengandungi sumber karbohidrat (nasi, mee, roti, dan bijirin), sumber protein (ikan, ayam, daging dan telur) bersama-sama sayur-sayuran dan buah-buahan. Amalkan suku-suku separuh untuk memudahkan pengambilan makanan mengikut porsi yang sesuai.
- Pengambilan jumlah tenaga yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan, tidak digalakkan mengambil kalori kurang dari 1800 kcal sehari.
Pemakanan ibu semasa mengandung sangat penting untuk memastikan bayi dapat membesar dengan cepat dan baik. Oleh itu, tidak disarankan untuk menyekat pengambilan kalori kurang dari 1800 kcal sehari sekurang-kurangnya sebelum penyusuan susu ibu dapat dikukuhkan (dianggarkan dalam dua bulan).
- Pastikan pengambilan protein mengikut keperluan ibu yang menyusu
Semasa menyusu, ibu sepatutnya fokus pada pengambilan protein yang baik bukan dengan mengambil makanan yang tinggi karbohidrat semata-mata. Dianggarkan pertambahan 25 g setiap hari dari pengambilan semasa mengandung dan akan menambahkan 20% dari pengambilan tenaga dari protein.
- Pengambilan makanan yang tinggi DHA (Docosahexaenoic Acid) daripada ikan (yang rendah metilmerkuri) seminggu dua kali
Pengambilan lipid yang baik terutamanya DHA, dapat membantu perkembangan otak bayi. Pengambilan makanan yang berasaskan ikan seminggu sekali atau dua dapat menampung keperluan bayi. Namun begitu, ibu perlu berhati-hati dan mengurangkan mengambil ikan yang mengandungi kadar merkuri yang tinggi seperti ikan todak, ikan tenggiri, tuna.
- Pastikan minuman sentiasa tersedia semasa menyusu dan semasa mengepam susu untuk mengelakkan haus.
Ibu yang menyusu perlu sentiasa minum air semasa bayi sedang menyusu kerana terdapat pengeluaran cecair dari badan semasa proses penyusuan. Ibu menyusu sepatutnya minum semasa haus tetapi bukan memaksa pengambilan minuman yang berlebihan yang mana tidak bermanfaat dan akhirnya menyebabkan ketidakselesaan. Sebaik-baiknya adalah air kosong, namun begitu kebanyakan minuman juga boleh selagi tidak mengandungi lebih banyak gula dari air.
- Minuman beralkohol boleh diambil semasa majlis tetapi cuma dalam kadar sederhana. Tidak digalakkan untuk bayi yang pramatang, sangat kecil atau bayi yang sedang sakit.
Tiada pengambilan selamat diasaskan untuk ibu yang menyusu namun terdapat cadangan hanya mengambil 0.5 g alkohol/kg berat badan ibu. Tidak digalakkan pengambilan alkohol semasa bayi sedang sakit, bayi pramatang atau bayi yang masih kecil. Ini kerana kesan alkohol lebih kuat dan mudarat kepada mereka daripada bayi yang sihat, cukup bulan dan lebih besar usianya.
Rujukan :
Krause and Mahan’s Food & Nutrition Care Process, Fifteenth Edition, 1st Southeast Asia Edition, 2022, Elsevier (Singapore) Pte. Ltd. ISBN: 978-0-323-63655-1
Penulis : Puan Adibah Zakaria
Pegawai Sains Pemakanan
Kaunselor Laktasi
