Tanda Bayi Mendapat Cukup Susu

“Susu saya tak cukup, baby asyik menangis saja. Jadi mak saya pun berikan susu botol pada anak”, ujar si ibu muda yang anaknya baru 1 bulan. Nampak kekesalan pada wajah. Mungkin kecewa dengan diri sendiri. Wahai ibu, jangan salahkan dirimu. Mari kita cari ketahui tanda-tanda bayi cukup susu.

  1. Bayi menyusu dengan kerap

Kebiasaannya, bayi akan menyusu 8-12 kali dalam 24 jam.  Pada beberapa hari pertama, ibu akan menghasilkan kolustrum yang pekat dan penuh dengan nutrisi dalam kuantiti yang sedikit. Oleh demikian, bayi akan menyusu dengan kerap untuk memberi isyarat kepada payudara untuk membuat lebih banyak susu bagi memenuhi permintaan bayi. Ibu perlu menyusu bayi mengikut tanda- tanda lapar bayi. Untuk bayi baru lahir atau dalam fasa ‘growth spurt’ kadangkala bayi menyusu lebih kerap, iaitu setiap 1 jam.

  • Penukaran lampin basah

Bayi yang cukup susu akan menghasilkan air kencing yang cukup. Biasanya selepas hari ke 5, dalam 1 hari, ibu akan menukar 6 – 8 lampin bayi yang berat dengan air kencing. Air kencing juga kelihatan jernih, dan tidak berbau. Ini adalah penting untuk memastikan bay tidak dehidrasi. Buatlah catatan setiap kali penukaran lampin sekiranya perlu.

  • Bayi menghisap, pipi kembung dan bunyi menelan

Perhatikan lekapan, pastikan lekapan bayi betul dan bayi rapat dengan ibu. Sewaktu bayi menyusu, lihat tanda pipi bayi kembung dengan susu, leher bayi nampak pergerakan menelan, yang juga disertai dengan bunyi menelan.

  • Payudara ibu lembut dan ringan

Sekiranya bayi sudah sedia untuk sesi penyusuan, biasanya payudara juga akan menunjukkan tanda. Payudara akan rasa penuh dan berat, mungkin juga baju ibu mulai basah. Selepas ibu memberikan susu pada bayi, payudara ibu akan jadi lebih lembut, dan ringan. Ia adalah tanda penting untuk menunjukkan susu ibu  telah dihisap oleh bayi.

  • Bayi kenyang dan tidur

Biasanya bayi yang dapat susu dengan cukup, akan lepaskan puting ibu sendiri, dan tidur sehingga sesi seterusnya. Ini terutamanya untuk bayi kurang 2 bulan. Selepas 2 bulan, bayi sudah mula berjaga di antara menyusu untuk jangka masa tertentu mengikut usia.

  • Kenaikan berat badan yang optimal

Tanda yang paling tepat untuk menunjukkan bayi cukup susu adalah dengan kenaikan berat badan. Dalam tempoh 4 bulan pertama, berat badan bayi seharusnya naik sekurang-kurangnya 500g setiap bulan. Sekiranya ada penurunan pada 10 hari pertama, ianya tidak seharusnya lebih dari 10% dari berat badan sewaktu lahir. Bayi patut aktif semasa bangun dan memenuhi tahap perkembangan mengikut umur bayi

Sekiranya bayi terus menangis walaupun sudah memenuhi tanda cukup susu, sila periksa sekiranya bayi mempunyai masalah lain. Antara punca yang kerap menyebabkan bayi menangis adalah seperti kembung perut, suhu terlalu  panas atau sejuk, ingin dipeluk, tidak selesa, atau sakit (jangkitan kuman, dll).

Ibu dan bapa sila cakna tentang tanda-tanda ini. Ibu perlukan sokongan untuk meyakinkan dirinya bahawa dia sudah memberikan susu yang cukup kepada bayi. Penyusuan badan secara direct yang cukup dan optimal tidak memerlukan tambahan dari susu perahan atau susu formula.

Sila dapatkan pemeriksaan dari doktor dan kaunselor laktasi anda sekiranya anda mempunyai masalah atau pertanyaan lanjut.

Penulis : Dr Aimi Jaafar
Doktor perubatan
Kaunselor Laktasi