Bagaimana Menjayakan Penyusuan Susu Ibu

Kekerapan sesi penyusuan susu ibu mengikut kehendak bayi iaitu konsep lebih banyak permintaan lebih banyak penghasilan, posisi pegangan bayi yang selesa dan pelekapan yang berkesan semasa penyusuan adalah penting untuk menjayakan penyusuan susu ibu kerana mempunyai banyak kebaikan kepada bayi dan ibu. Antaranya, pada awal kelahiran, bayi mendapat kolostrum yang kaya dengan antibodi untuk melindungi bayi daripada penyakit, bayi kurang mengalami masalah jaundis dan sebagainya. Ibu pula kurang mengalami masalah duktus tersumbat, ibu dapat menyusukan bayi dalam tempoh yang lebih lama iaitu penyusuan eksklusif 6 bulan dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga 2 tahun. Risiko mendapat mastitis, breast abscess, rusty pipe syndrom dan sebagainya dapat dielakkan. Ibu perlu menyusukan bayi pada kedua-dua belah payudara untuk memastikan penghasilan susu yang optimum serta bayi mendapat kedua-dua foremilk dan juga hindmilk (mempunyai kandungan lemak lebih tinggi untuk memberikan kalori yang cukup)

Jika bayi bersama ibu, kerapkan penyusuan mengikut kehendaknya agar dapat merangsang lebih banyak hormon prolaktin yang menggalakkan pengeluaran susu ibu. Ibu perlu peka pada tanda-tanda ingin menyusu yang bayi tunjukkan. Antaranya adalah bayi membuka mulut dan mencari payudara ibu, menggerakkan bola matanya, membuat pelbagai pergerakan, menjelirkan lidah, mengecap bibirnya, menghisap jari atau sebarang objek yang tersentuh pada bibirnya, menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan serta mengeluarkan bunyi rengekan perlahan. Menangis merupakan tanda terakhir. Jika bayi tiada bersama ibu pula, ibu perlu menjaga jadual pam secara konsisten iaitu memerah susu sekurangnya setiap 3 jam sekali atau lebih kerap dan pastikan bayi diberikan susu perahan oleh pengasuh semasa ketiadaan ibu. Ibu juga perlu peka pada tanda-tanda bayi kenyang menyusu, iaitu bayi melepaskan sendiri payudara ibu, bayi tertidur lalu melepaskan perlahan-lahan payudara ibu serta senyum dan ceria, maka ibu akan yakin bahawa susu mencukupi. 

Posisi adalah cara ibu memegang bayi semasa sesi penyusuan. Ibu perlu selesakan diri sendiri terlebih dahulu sebelum meletakkan bayi pada kedudukan selesa juga. Beberapa posisi penyusuan adalah pegangan mendukung, pegangan mendukung bersilang, pegangan mengepit atau football hold dan posisi berbaring mengiring. Boleh rujuk gambar posisi pegangan bayi semasa penyusuan termasuk gambar-gambar posisi berbaring mengiring. 

Keselesaan bayi semasa menyusu adalah dengan cara keseluruhan tubuh bayi dipalingkan supaya muka bayi menghadap ke arah payudara ibu, hidung bayi bertentangan dengan puting ibu dan dada bayi bersentuhan dengan dada ibu; keseluruhan tubuh bayi hendaklah dipegang padat dan selari bagi mengelakkan leher bayi daripada berpusing ke arah kiri atau kanan; kepala, leher dan bahu bayi perlu diampu atau disokong, ibu hendaklah tenang serta pegang punggung bayi dengan yakin supaya bayi tidak jatuh; serta keadaan tubuh bayi yang perlu dirapatkan ke arah tubuh ibu, bayi akan mencari sendiri payudara ibu dan ibu boleh bantu bayi, bukan tubuh ibu yang menunduk ke arah bayi dan mengelakkan ibu berasa lenguh badan. Belakang badan, lengan atau kaki ibu boleh disokong dengan bantal dan payudara ibu diampu. Ibu boleh juga menggunakan bantal menyusu dan digalakkan untuk membedung bayi sekemasnya ketika menyusukan bayi supaya tangan bayi tidak mengganggu penyusuan dan mudah untuk ibu memperbetulkan pelekapan terutamanya untuk bayi baru lahir. Bedung bukan penyebab hip dysplasia dan bukan juga cara merawatnya.  

Pelekapan yang betul adalah mulut bayi terbuka luas, ibu boleh bantu refleks mencari bayi dengan menyentuh bayi ke puting ibu sebelum penyusuan, bayi akan mencakup payudara ibu dari bawah ke atas dan hidung bayi bersentuhan dengan puting ibu, areola lebih banyak kelihatan pada bahagian atas mulut bayi, dagu bayi menyentuh payudara ibu dan bibir atas bayi terjuih ke atas dan bibir bawah terjuih ke bawah dan melengkung keluar. Lidah bayi akan tolak areola payudara, bukan hanya pada puting ibu supaya tidak bergesel di puting ibu dan seterusnya akan menyebabkan puting melecet. Ibu boleh memerhatikan cara bayi menelan susu. Hisapan yang dalam dan bunyi tegukan yang perlahan menandakan pelekapan betul. Bayi perlu melekap dengan betul supaya susu boleh dikeluarkan dengan mudah dan dapat menghisap dengan berkesan.  

Penghisapan bayi ada dua mekanisma. Gerakan lidah bayi ke atas ke arah lelangit yang akan memberi tekanan positif kepada payudara ibu dan akan memancutkan susu keluar daripada payudara ke dalam mulut bayi. Otot pipi akan membuat tekanan negatif seperti mencembungkan mulutnya dan membuatkan daya hisapan berlaku. Pelekapan bayi pada payudara ibu akan menjadi mudah apabila ibu yakin posisi pegangan bayi betul, bayi rasa selamat kerana bayi boleh rasa ketenangan ibu semasa sesi penyusuan, seterusnya graf berat bayi akan meningkat secara optima. Selain itu, galakan dan sokongan daripada suami serta ahli keluarga yang lain amat penting agar ibu berjaya menghadapi cabaran dalam penyusuan susu ibu.